Untuk ahli, oleh ahli. Bersama membina masa depan yang lebih baik.

Ke Portal Ahli →
← Semua promosi & aktiviti

Aktiviti

FELKOP Raih Anugerah Koperasi Kredit 2026 dan Kedudukan Ke-8 Koperasi Terbaik Malaysia

BUTTERWORTH, 4 Julai 2026 – Koperasi Kakitangan FELDA Malaysia Berhad (FELKOP) mencatatkan pencapaian membanggakan apabila memenangi Anugerah Koperasi Kredit 2026 serta menduduki tempat ke-8 dalam senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026 sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) Peringkat Kebangsaan.

Sambutan yang berlangsung dari 3 hingga 5 Julai 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang membawa tema “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”. Program ini menjadi platform untuk mengetengahkan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti.

Majlis perasmian pada 4 Julai 2026 telah disempurnakan oleh YB Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dengan kehadiran barisan kepimpinan serta wakil gerakan koperasi negara.

Kedua-dua pengiktirafan ini menjadi pencapaian bermakna buat FELKOP dan seluruh anggotanya. Kejayaan tersebut turut menjadi dorongan untuk terus memperkukuh pengurusan koperasi, meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyediakan kemudahan pembiayaan yang memenuhi keperluan anggota.

FELKOP merakamkan penghargaan kepada Anggota Lembaga Koperasi, pihak pengurusan, kakitangan dan seluruh anggota atas komitmen, kepercayaan serta sokongan berterusan. Berbekalkan semangat kerjasama ini, FELKOP akan terus berusaha mencipta pencapaian baharu dan memberikan manfaat yang berkekalan kepada anggota.