Untuk ahli, oleh ahli. Bersama membina masa depan yang lebih baik.

Ke Portal Ahli →
← Semua promosi & aktiviti

Aktiviti

Pusat Dialisis Mukmin FELKOP Chini Dirasmikan

CHINI, 4 November 2026 – Majlis Perasmian Pusat Dialisis Mukmin FELKOP Chini telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Latihan FELDA Chini. Majlis tersebut disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang.

Turut hadir ialah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (EXCO), Speaker Dewan Negeri Pahang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, wakil pengurusan FELKOP serta pengurusan tertinggi Gedung Penawar Sdn. Bhd.

Pusat Dialisis Mukmin FELKOP Chini diwujudkan melalui kerjasama FELKOP dengan Gedung Penawar Sdn. Bhd., pengendali Pusat Dialisis Mukmin. Kerjasama ini menggabungkan komitmen FELKOP untuk memperluas manfaat kepada masyarakat dengan pengalaman Gedung Penawar dalam mengendalikan perkhidmatan dialisis. Gedung Penawar Sdn. Bhd. kini mengendalikan lebih 60 pusat dialisis di 10 negeri di Semenanjung Malaysia di bawah rangkaian Pusat Dialisis Mukmin.

Pembukaan pusat ini merupakan satu langkah bermakna dalam memperluas akses kepada kemudahan rawatan kesihatan, khususnya bagi pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis. Dengan lokasinya di Pusat Latihan FELDA Chini, pusat ini menambah pilihan kemudahan rawatan dialisis untuk masyarakat setempat.

Kejayaan merealisasikan pusat dialisis ini turut menjadi pemangkin kepada usaha FELKOP untuk meneroka pembukaan lebih banyak pusat dialisis pada masa hadapan, sama ada di kawasan FELDA mahupun di luar kawasan FELDA. Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan FELKOP terhadap aspek kesihatan serta usaha berterusan untuk membawa manfaat yang lebih luas kepada masyarakat.

Semoga Pusat Dialisis Mukmin FELKOP Chini terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan membawa sinar harapan kepada para pesakit serta keluarga mereka.